Polis Harus Menimbang Semula Sikap Tidak
Peduli Terhadap Perkasa Untuk Mengelak Persepsi Awam Bahawa Mereka
Membenarkan Taktik Ganas Perkasa Untuk Mengugut Pemimpin PR.
Kegagalan pihak polis untuk segera
menahan ahli-ahli Perkasa yang terlibat dalam keganasan bukan sahaja
terhadap orang awam dan wartawan tetapi juga terhadap keselamatan
peribadi saya hanya mengesahkan kebimbangan bahawa tingkah laku Perkasa
mendapat sokongan UMNO dan BN. Polis harus menimbang semula sikap tidak
peduli terhadap Perkasa untuk mengelak persepsi awam bahawa mereka
membenarkan taktik ganas Perkasa untuk mengugut pemimpin PR.
Kejadian semalam di pasar Teluk Bahang,
di mana sekumpulan ahli Perkasa telah dibenarkan untuk berdemo dan
melempar poster-poster anti-Lim Guan Eng berdekatan dengan saya,
membuktikan bahawa pihak polis tidak akan mengambil tindakan walaupun
kejadian berlaku di depan mata mereka. Sikap tidak peduli ini mungkin
telah memberanikan seorang ahli Perkasa yang tiba-tiba menyerang saya
dari belakang dan berjaya menolak saya. Walaupun ahli Perkasa itu sempat
menolak saya, saya tidak dicederakan hasil usaha seorang pemimin PR
tempatan yang telah mengheret keluar ahli Perkasa itu.
Tugas untuk mengheret ahli Perkasa itu
sepatutnya tanggungjawab polis dan bukan pemimpin PR. Kegagalan polis
untuk memberi perlindungan yang sewajarnya telah diikuti pula dengan
kegagalan polis untuk segera menahan ahli Perkasa yang terbabit.
Sekiranya serangan itu telah berlaku ke atas Perdana Menteri dan bukan
seorang Ketua Menteri PR, bayangkan sahaja bagaimana reaksi polis.
Insiden yang malang ini telah berlaku
walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim
bin Hussain sudah pun memaklumkan pihak polis mengenai demonstrasi
Perkasa dan telah meminta perlindungan yang sewajarnya serta tindakan
yang tegas. Pun begitu, walaupun Perkasa mempunyai rekod keganasan
bersiri terhadap orang awam, wartawan dan pemimpin PR, mereka masih lagi
dibenarkan untuk bertindak ganas tanpa dihukum.
Sungguhpun mencatatkan pengurangan dalam indeks jenayah yang kedua paling ketara setakat Mei 2012 (pengurangan 23%), pihak polis sedang diteliti dengan rapi di Pulau Pinang akibat beberapa insiden jenayah di kawasan-kawasan warisan, pelancongan dan perumahan. Kegagalan untuk melindungi Ketua Menteri hari ini tidak akan meyakinkan pihak awam tentang keupayaan pihak polis untuk memastikan keselamatan awam apabila mereka tidak bertindak dengan segera terhadap mereka yang mengancam keselamatan Ketua Menteri.
sumber : FB BuletinMutiara
0 comments:
Post a Comment