Kepada,
YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.
10hb.Disember 2010
YDH Tan Sri,
JAWAPAN KDN MENGENAI INSIDEN MATA-LEBAM.
Assalamualaikum wbt.,Semoga YDH Tan Sri dalam sihat walfiat.
2. Izinkan saya dengan segala hurmatnya merujuk kepada jawapan YB Menteri Dalam Negeri bertarikh 2.12.2010 kepada persoalan yang ditimbulkan di-Parlimen oleh YB Lim Kit Siang berkaitan isu diatas.
3. Saya menarik perhatian Tan Sri kepada petikan jawapan tersebut; “Pihak PDRM telah membuat semakan keatas penyiasatan yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam kes serangan mata-lebam pada 1998.Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan tersebut”.
Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pendapat saya, bahawa pendirian yang PDRM ambil dalam menyediakan jawapan tersebut adalah jauh berbeza,malahan bertentangan dengan pendirian PDRM, ketika menangani siasatan insiden ini pada 1998.Saya wajar menegaskan bahawa pendirian PDRM ketika itu, adalah untuk menjalankan siasatan “without fear or favour;leaving no stone unturned;and to get it over with as soon as possible” dan tidak ada sebarang “cover-up” untuk sesiapa pun.Namun begitu pendirian kali ini nampaknya cenderong kepada melindungi orang-orang tertentu.
4. Saya berharap pendirian sedemikian yang Tan Sri ambil dalam penyediaan jawapan diatas adalah terbatas yang disebabkan oleh kekurangan bahan rujukan yang sepatutnya berada dalam kertas siasatan kes mata-lebam tersebut. Pada ketika penyiasatan kes ini lagi, beberapa dokumen penting dalam kertas siasatan itu, pernah dihilangkan ketika ditangan Peguam Negara dan kami terpaksa menggantikannya dengan salinan pendua.Malah keseluruhan kertas siasatan berkenaan pernah “dihilangkan” sementara, selama lebih kurang 3 minggu diatara 30.10.1998 hingga 20.11.1998 sepertimana yang saya jelaskan dalam perenggan 16 Surat Terbuka saya kepada Tan Sri pada 22.11.2010. Tidak hairan jika berlaku kekurangan kandungan kertas siasatan itu, kerana ianya tersorok lama di-Jabatan Peguam Negara.
5. Sebelum saya pergi kepada isu pokok surat ini,izinkan saya menegaskan bahawa diari penyiasatan saya dalam kes ini adalah dibuat “as and when the events unfolded”, sama-ada yang saya rakamkan secara detail atau sekadar mencatitkan perkara mustahak setakat membolehkan saya menyegarkan ingatan saya kepada peristiwa berkenaan.Seperti apa yang kita pernah diajar di-Maktab KKB dahulu, “you see..you recognize;you read..you will know;if you write…you will remember for ever.”.
Saya juga ada merakamkan perkara-perkara penting dalam perharian rasmi (official diary) khususnya bagi memelihara kerahsiaan identity individu dan maklumat penting yang saya terima berkaitan siasatan kes ini. Selain daripada diari penyiasatan tersebut saya telah menyediakan summary of evidence dalam minit-minit bertarikh 15.10.1998, 29.10.1998 dan 27.1.1999 yang saya jadikan sebahagian daripada diari penyiasatan, kesemuanya diedarkan mengikut prosidur edaran kertas siasatan,kepada Peguam Negara.Jika terdapat rakaman diari atau minit saya yang palsu atau tidak benar,sudah lama saya telah dikenakan tindakan Mahkamah.
6. Apabila PDRM baru-baru ini menyatakan, “Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan ini”,persoalan yang muncul secara spontan ialah;bagaimana dan dimanakah hendak disorokkan sebanyak tiga(3) laporan perubatan yang telah dipalsukan dalam siasatan tersebut?.Malah dua(2) daripada tiga laporan berkenaan telah dikemukakan dan dipertimbangkan dalam prosiding Suruhanjaya Di Raja menyiasat insiden mata-lebam ini pada tahun 1999,dan laporan Suruhanjaya diistiharkan dokumen public.Laporan-laporan ini pula bukannya sekadar satu atau dua muka surat yang boleh terlepas pandang. Ketiga-tiga laporan ini berjumlah enam puloh lima(65) muka surat kesemuanya.Selain itu ketiga-tiga laporan berkenaan telah saya edarkan kepada;
YAB Perdana Menteri sendiri pada 19.2.2009.
YA Bhg.Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM pada 15.4.2009 dan 7.5.2009
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan Presiden Malaysian Medical Association pada 7.5.2009.
Peguam Cara Negara menerusi salinan laporan 15.4.2009 dan 7.5.2009.
6.1. Saya percaya Tan Sri masih ingat,bilamana satu helai surat sahaja,bertarikh 21.9.1953 yang ditanda tangani oleh seorang Pemangku Setia Usaha Kerajaan Negeri, menjadi antara sebab utama,maruah dan kedaulatan Negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.Bayangkanlah apa yang boleh enam puloh lima (65) muka surat dokumen yang dipalsukan atas arahan Peguam Negara-Peguam Negara, boleh lakukan terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.
7. Saya turut yakin Tan Sri mahir dengan case laws berkaitan pemalsuan.Setiap pemalsuan itu adalah dilakukan secara “deliberate”.Tidak ada pemalsuan yang sebegini banyak dilakukan secara tidak sengaja.Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan yang dipalsukan itu dilakukan dengan perancangan, persediaan dan perlaksanaannya dilakukan secara deliberate bagi memenuhi motif-motif yang jelas.Diary penyiasatan saya dan minit-minit berkaitan boleh membantu mengenalpasti sequent of events pemalsuan-pemalsuan ini.
8. Jika saya yang menjelaskan motif-motif pemalsuan itu dilakukan,mungkin ada pihak yang akan mempertikaikannya atau mungkin ada yang akan mengatakan saya melampau atau bias.Untuk menjauhi tanggapan khilaf sedemikian,apa kata saya jemput Tan Sri menilai sendiri dengan merujuk kepada penemuan Ahli Suruhanjaya Di-Raja Tersebut yang bijaksana, dirakamkan dalam Laporan Volume 1,PART TWO,Item 2 “OVERVIEW” perenggan 2.1.Komen Suruhanjaya ini dibuat berkaitan Press Statement Peguam Negara bertarikh 5.1.1999 yang ditanda tangan sendiri oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham TSMA) khususnya muka surat 5 Press Statement tersebut:-
:Quote:( 6 baris terakhir muka surat 5 “Overview”)
“Quite simply,this passage meant that Dato Seri Anwar Ibrahim(DSA)had made untrue allegations about several injuries sustained by him but more to the point that it had been proved,to the satisfaction of the Honourable the Attorney General,that more than one Police Officer was involved in causing other injuries on certain parts of DSA’s body” ( penekanan saya kepada perkataan dalam “bold & italic”).Unquote.
8.1. Perkara dalam 2nd limb,quotation diatas yang menyebabkan pertembungan “head-on” antara Tan Sri Abdul Gani Patail(TSGP) dengan saya.Jika saya sebutkan nama-nama pegawai tinggi Polis dan berapa jumlahnya yang TSGP katakan beliau ada kuasa untuk menuduh dan atas kesalahan apa berkaitan insiden mata-lebam ini,mungkin saya akan dianggap sebagai seorang penghasut atau batu api. Tiada faedah untuk saya memainkan script usang ini.Bagaimanapun untuk makluman Tan Sri ,pada ketika saya dipanggil memberi keterangan oleh pihak SPRM bulan July 2008 itu,saya disoal juga mengenai “sikap tidak sopan” saya ini.Mungkin ianya tidak penting tetapi sekadar untuk Tan Sri membuat verifikasi jika relevan.
0 comments:
Post a Comment