Tahniah Dato Salleh Man

DPPK mengucapkan tahiah kepada Dao' atas perlantikan beliau sebagai YDP MAIPP

Nuzul Al Quran

DPPK Permatang Pauh mengucapkan Salam Nuzul Al Quran

Mengaminkan Doa Wehdah

Para Exco DPPK mengaminkan doa wehdah selepas Mesy Agung DPPK 2012.

Bersihkan Surau

Unit Amal bergotong royong membersihkan surau.

Demo

Demo di Masjid Permatang Janggus selepas solat Jumaat

Thursday 12 March 2009

SEJARAH PAS



MENGIKUT satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).
Walaupun di sini terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.
Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang).
PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.
Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.
Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 mereka telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam. Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.
Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan ini telah berjaya mencetuskan Revolusi lntelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit-bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa kesatuan atau pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.
Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.
Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 – 1945.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi – iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu. PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh.
Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.
PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.
Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.
MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.
Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.
Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.
Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.
Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah menggarap sebahagian besar dari ground work bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.
Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif. Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi.
Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).
Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth dengan penitia penajanya terdiri daripada:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan – Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki – Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah – Anggota
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah – Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Anggota
Tuan Haji Mansor J.P – Anggota
Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu – iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.
Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.
Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:
Persatuan guru-guru agama dari Perlis.
Persatuan ulama dari Kedah.
Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.
Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan – Yang Dipertua Agung
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah – Timbalan Yang Dipertua Agung
Tuan haji Hussin Che Dol – Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
Fakir Muhammad Nor – Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli – Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
Tuan Haji Ahmad Maliki – Setiausaha Agung
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari Agung
Ahli Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:
Tuan Haji Yahya Joned
Tuan Haji Uthman Talib
Tuan Haji Mohammad Nor
Tuan Haji Zabidi Ali
Tuan Haji Abdul Wahab
Tuan Haji Assaiya
Muhammad Mahzub
Tuan Haji Ahmad Nadur.
Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.
Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar (ramai yang berpendapat di sini bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau) tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.
Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.
Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).
Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti, namun parti terus hidup, malah lebih kental dan subur.
Presiden-Presiden PAS
1951-1953 – Hj Ahmad Fuad bin Hassan
1953-1956 – Dr. Hj Abbas bin Hj Ilias (Memangku)
1956-1965 – Dr Burhanuddin bin Hj Mohd Noor (Al-Helmi)
1965-1966 – Tan Sri Mohd Asri Haji Muda (Memangku ketika Dr Burhanuddin ditahan di Bawah ISA)
1966-1969 – Dr Burhanuddin bin Hj Mohd Noor (Al-Helmi)
1969-1982 – Tan Sri Mohd Asri Haji Muda
1982-1989 – Tuan Guru Haji Yusuf Rawa
1989 – 2002 – Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor
2002 – Kini – Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang