Monday 9 November 2009

Aurat Dalam Islam


AURAT DALAM MENURUT ISLAM

Pakaian adalah salah satu di antara tiga keperluan asas terpenting yang perlu dimiliki dan dipenuhi oleh setiap manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Selain sebagai keperluan asasi, pakaian juga boleh menjadi ukuran keperibadian seseorang. Berpakaian tidak memadai hanya berdasarkan ukuran adat, kerana adat boleh berubah. Justeru itu, pakaian juga boleh berubah. Ukuran agama adalah yang paling tepat bagi menentukan etika berpakaian iaitu menutup aurat yang menepati kehendak hukum syara’.

Permasalahan mengenai pakaian bukanlah bersifat peribadi sehingga seseorang itu menganggap ia boleh memakai apa sahaja pakaian yang disukainya. Tetapi dalam keadaan tertentu, pakaian yang dipakai itu perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Ringkasnya, pakaian itu bukan sahaja mempunyai hubungkait dengan maruah, budi pekerti dan ketertiban, malahan ia sangat berkait rapat dengan tuntutan agama.

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam baginda bersabda: “Tidak harus seseorang lelaki yang memandang aurat seorang lelaki yang lain dan tidak harus seseorang wanita memandang aurat wanita yang lain.”

Aurat boleh disifatkan sebagai bahagian tubuh yang perlu (wajib) ditutup dan tidak didedahkan kepada pandangan orang.

PEMBAHAGIAN AURAT

Pertama, bagi lelaki berpakaian menutup seluruh anggota badannya yang ada di antara pusat dan kedua belah lutut. Tujuannya untuk menyelamatkan anggota yang ada di antara pusat dan kedua lutut itu supaya jangan terdedah. Bagi perempuan, pakaian itu menutup seluruh anggota badannya, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan (depan dan belakang) sehingga dua pergelangan tangan. Cara begini adalah dalam keadaan biasa. Sekiranya dalam keadaan yang boleh membawa fitnah atau mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu keganasan terhadapnya, maka menutup muka (purdah) dan tapak tangan menjadi wajib.

Kedua, hendaklah pakaian lelaki dan perempuan itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

Ketiga, hendaklah pakaian perempuan itu luas, tidak sempit atau tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badannya, seperti menampakkan bentuk buah dada, perut, punggung dan anggota yang lain yang boleh mendatangkan fitnah.

Keempat, hendaklah pakaian perempuan itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, begitu juga sebaliknya.

Kelima, hendaklah pakaian perempuan itu tidak terlalu berbau wangi atau harum kerana ianya akan menarik perhatian orang lain. Larangan sedemikian berdasarkan hadis Nabi saw. Maksudnya: Setiap wanita yang mengenakan wangi-wangian (baik ke badan mahupun pakaiannya), kemudian dia berjalan melintasi sesuatu kaum agar mereka dapat mencium bau yang wangi itu, maka wanita itu adalah wanita penzina. (Riwayat Nasa’i)

Keenam, hendaklah pakaian itu tidak dihias secara berlebih-lebihan kerana pakaian yang berhias itu boleh menarik pandangan orang lain, dan boleh membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandangnya.

Ketujuh, pakaian itu tidak bertujuan untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.

Kelapan, mengenai pakaian lelaki pula, ia tidak boleh diperbuat dari benang sutera yang tulin.

Akhirnya tiada siapapun dapat menyangkal pendedahan aurat berlaku di mana-mana, sama ada di tempat-tempat awam atau di majlis-majlis tertentu. Meskipun di negara kita kejadian seumpama ini masih terkawal, namun ada juga segelintir remaja mahupun golongan dewasa yang tidak segan silu mendedahkan auratnya. Lelaki misalnya, ada yang memakai seluar pendek yang menampakkan paha dan memakai seluar ketat yang boleh menampakkan raut anggotanya. Biasanya kita boleh melihat mereka ini semasa mereka menjalankan aktiviti riadah.

Sementara perempuan pula, ada yang tidak memakai tudung, memakai seluar dan baju ketat, serta yang lebih dahsyat lagi ada yang memakai baju yang singkat hingga menampakkan perut. Ada pula yang memakai tudung tetapi masih mempamerkan rambut di atas dahi dan ada pula yang memakainya di atas paras dada.

Semua bentuk pendedahan yang disebutkan ini adalah punca kepada rangsangan syahwat baik bagi lelaki mahupun perempuan yang boleh membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial yang tidak diingini.

Memang benar dalam ajaran Islam, naluri seks seseorang itu harus berjalan seiring dengan kehendak agama dan mempunyai cara-cara tertentu untuk mengawalnya. Tetapi sejauh manakah naluri itu akan dapat dikawal apabila berhadapan dengan aurat yang terbuka? Mungkin orang-orang yang mendedahkan aurat itu beralasan bahawa pakaian tidak menunjukkan


Risalah Dakwah dikeluarkan oleh
Jabatan Dakwah Dewan Pemuda Pas
Negeri Pulau Pinang
No Tel: 019-5167627 / 019-4106014
Email: mzbh1972@gmail.com

0 comments:

Post a Comment