Wednesday 6 May 2009

PERJUMPAAN TERTUTUP PIMPINAN PAS PULAU PINANG DENGAN DATUK MUSTAFA ALI


PAS kekal dengan pendiriannya tidak membenarkan ahlinya bertanding menentang rakan komponen pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti demi menjaga semangat setiakawan demikian dilaporkan oleh Bernama."Kita tidak akan izinkan orang kita bertanding atas tiket bebas melawan parti komponen," kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepimpinan Pas Pulau Pinang di Markas Pas Padang Menora, di sini, malam tadi. Sebelum ini, Pemuda Pas Pulau Pinang menerusi bekas ketuanya, Mohd Hafiz Mohd Nordin mendesak pucuk pimpinan meletakkan calon parti itu bertanding di Penanti dengan alasan bahawa ahli akar umbi tidak berpuas hati dengan tindakan penyandang kerusi itu sebelum ini, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengosongkannya.Dua hari lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mujahid Yusof Rawa, meminta pucuk pimpinan parti supaya mengkaji semula keputusan tidak meletakkan calon parti itu serta menilai semula perjanjian pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang. Mustafa meminta ahli parti itu tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej parti kerana keputusan sudah dibuat sebelum ini iaitu mana-mana parti dalam gabungan pembangkang yang bertanding di sesebuah kawasan pada pilihan raya umum lalu berhak meletakkan calon mereka sekiranya berlaku kekosongan kerusi itu atas sebarang sebab. "Bagaimanapun, kita boleh berbincang jika parti yang bertanding sebelum ini tidak bersedia untuk meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil," katanya.Mustafa berkata, beliau akan memaklumkan perasaan dan suara akar umbi Pas Pulau Pinang yang mahukan parti itu bertanding kepada pimpinan tertinggi parti pada mesyuarat bulanan 10 Mei ini dan kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya sudah mendengar dan memahami kehendak mereka dan saya juga telah memberi penjelasan mengenai alasan kita tidak bertanding di situ. Bagaimanapun, kedudukan kerusi pada pilihan raya umum akan datang boleh dibincangkan," katanya. Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man; timbalannya, Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pemuda yang baru, Mohd Yusni Mat Piah.